Sunday, 20 May 2012

Kategori: Peribahasa
Salam Sejahtera. Apa khabar semua? Hari ini kita akan belajar beberapa peribahasa yang membawa maksud melakukan dua (atau lebih) pekerjaan pada masa yang sama. Dalam erti kata lain, dengan melakukan sesuatu perkara itu, kita dapat mencapai dua maksud atau hajat sekaligus.
·         Belayar sambil memapan, merapat sambil belayar
·         Berkayuh sambil bertimba
·         Berkayuh sambil ke hilir
·         Sambil berdendang, biduk hilir
·         Sambil berdiang nasi masak
·         Sekali membuka pura, dua tiga hutang terbayar
·         Sambil menyelam minum air
·         Sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau.

Kategori: Peribahasa
Hari ini saya ingin kongsikan dengan kalian beberapa perumpamaan yang membawa maksud sama padan, setaraf atau kena pada tempatnya.
  • seperti pucuk dengan pelepah
  • seperti santan dengan tengguli
Maksud: Sama darjat, sama taraf atau sepadan.
(Pucuk, walaupun kecil dan muda akan bertumbuh menjadi pelepah juga. Begitu juga halnya dengan santan yang sesuai dicampur tengguli (air gula) akan menghasilkan rasa lemak manis.)

  • seperti pinang dibelah dua
  • seperti cincin dengan permata
Maksud: Pasangan yang sama cantik dan sama padan.

  • seperti cembul dapat tutupnya
  • seperti telap dengan tudungnya
  • seperti dulang dengan tudung saji
  • seperti terung bertunang ikan kering
Maksud: Sesuatu keadaan yang sesuai atau cocok benar


Kategori: Peribahasa
Peribahasa di bawah merupakan perumpamaan yang boleh kalian gunakan dalam penulisan untuk menggambarkan perbuatan atau perlakuan yang sia - sia.

  • seperti tulis di atas air / menyurat di atas air
Perbuatan atau perlakuan yang sia-sia kerana apa yang ditulis di atas air tidak akan dapat dibaca.

  • seperti mengira bulu kambing
Perlakuan ini hanya sia-sia kerana mustahil untuk kita mengira bulu kambing.

  • seperti melempar kersik ke buluh
Tekstur kersik (pasir) yang kasar tidak akan terlekat pada permukaan buluh yang licin. Maka perbuatan sebegini memang sia-sia dan mustahil dapat dilakukan.

  • seperti mengail kucing hanyut
Perumpamaan ini membawa maksud memberikan pertolongan yang sia-sia atau kepada pihak yang tidak memerlukan pertolongan. Perbuatan mengail kucing yang hanyut adalah sia-sia kerana secara dasarnya kucing tersebut tahu menyelamatkan diri sendiri.

  • seperti mencurah garam ke laut
Juga membawa maksud bantuan atau pertolongan yang sia-sia. Air laut yang sudah sedia masin tidak perlu dicurahkan lagi garam.

  • seperti hujan jatuh ke pasir
Membawa maksud kebaikan, nasihat atau pertolongan yang sia-sia kerana tidak diperlukan/tidak dihargai oleh yang menerimanya.

  • seperti mencurah air ke daun keladi

Perumpamaan ini bermaksud perbuatan menasihati orang yang sia-sia kerana nasihat tersebut tidak dihiraukan.


Peribahasa lain yang membawa maksud usaha/perbuatan yang sia - sia:

  • tertanam biji hampa - merupakan usaha yang sia-sia kerana biji hampa tidak akan bercambah benihnya.

  • tuba binasa ikan tak dapat - perbuatan yang sia-sia malah mendatangkan kerugian.

No comments:

Post a Comment